Apakah itu E-waste?
Di Malaysia, e-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar.
Penjanaan e-waste terbahagi kepada 2 jenis punca iaitu daripada sektor industri dan yang dihasilkan daripada isi rumah.
E-waste merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi atau lama / usang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti sejuk dan pendingin hawa.
Kod SW110 ditafsirkan sebagai buangan daripada pemasangan elektrikal dan elektronik yang mengandungi komponen seperti akumulator, suis raksa, kaca daripada tiub sinar katod dan kaca teraktif atau kapasitor bifenil terpoliklorin yang lain, atau yang dicemari dengan kadmium, raksa, plumbum, nikel, kromium, kuprum, litium, perak, mangan, atau bifenil terpoliklorin.
KENAPA PERLU MENGURUSKAN E-WASTE SECARA MESRA ALAM ?
E-waste kini telah menjadi masalah di seluruh dunia. Semakin banyak barangan elektrik dan elektronik yang dihasilkan, semakin banyak juga e-waste yang perlu dibuang/diuruskan.
Jika E-waste dibuang tanpa menggunapakai kaedah yang mesra alam seperti buang ke dalam sungai, ke tapak pelupusan, membakar secara sesuka hati atau diberikan kepada pihak yang tidak sepatutnya, e-waste ini berupaya untuk membahayakan kehidupan, menjejaskan kesihatan kita dan menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar.
Berdasarkan kajian, dijangkakan sebanyak 24.5 juta unit E-waste akan dihasilkan di Malaysia menjelang tahun 2025.
Komponen di dalam E-waste mengandungi bahan-bahan toksik dan berbahaya seperti merkuri, plumbum, kadmium, arsenik, bromin, berlium, dan pelbagai lagi yang akan meresap ke dalam bumi dan seterusnya sumber air serta mengancam hidupan akuatik dan manusia jika E-waste tidak dilupuskan secara mesra alam.
Komponen di dalam E-waste juga mengandungi logam berharga seperti emas, perak, tembaga, platinum dan palladium.yang mempunyai nilaik kitar semula yang tinggi semula
BAGAIMANA MENGURUSKAN E-WASTE SECARA MESRA ALAM
Untuk memastikan pelaksanaan sistem pengurusan e-waste yang lestari, pengguna/ penjana buangan (orang awam) adalah bertanggungjawab untuk melupuskan e-waste ke peruncit, pengumpul yang berdaftar atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan sahaja.
Orang awam adalah disarankan untuk menghantar e-waste dari isi rumah ke mana-mana pusat pengumpulan yang berdaftar atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar.
BAGAIMANA CARA NAK MENGHANTAR E-WASTE ANDA ?
(i) secara sendiri dengan menghantarnya terus ke pusat pengumpulan e-waste yang berdaftar dengan JAS atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan oleh JAS; atau
(ii) menghubungi mana-mana pusat pengumpulan yang menawarkan servis pengambilan e-waste dari rumah.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai servis pengambilan e-waste atau insentif yang ditawarkan oleh pusat pengumpulan, orang awam juga boleh berhubung dengan pusat-pusat pengumpulan tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Hubungi Kami
Bahagian Bahan Berbahaya,
Jabatan Alam Sekitar,
Kementerian Alam Sekitar dan Air,
Aras 2, Podium 3, Wisma Sumber Asli,
No.25, Persiaran Perdana, Presint 4,
62574 Putrajaya, Malaysia.
Talian Aduan: 03-8889 1972
Talian Hotline: 1-800-88-2727
Talian Umum: +603-8871 2000/2200
Faks: +603-8888 9987 /+603-8888 6120
Emel: ewaste_hh@doe.gov.my
Jumlah Kunjungan
Ikuti Kami